SEJARAH SEKOLAH







 Sekolah Kebangsaan Canossian Convent mula dibuka pada awal Januari 1956 bertempat di kilometer 1, Jalan Buloh Kasap, Segamat dengan bilangan murid seramai 70 orang yang terdiri daripada murid perempuan sahaja. Pada waktu itu, pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris. Guru Besar pertama yang mentadbir sekolah ini ketika itu ialah Mother Theresa Chuah.

            Pada tahun 1960, Sister Agnes Norris telah menggantikan Sister Theresa Chuah sebagai Guru Besar. Bilangan murid yang belajar di sekolah ini telah meningkat. Mereka terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Punjabi.

            Pada tahun 1962, Sister Lucy Lau mengambil alih pentadbiran sekolah ini sehingga beliau meninggal dunia kerana menghidap penyakit barah pada tahun 1978.

            Kemudian,tugas beliau telah diteruskan oleh Sister Elizabeth Chan. Sister Elizabeth telah mengambil inisiatif memindahkan sekolah ini ke Kampung Abdullah,Segamat. Tindakan ini diambil bagi menyelesaikan masalah kekurangan bilik darjah untuk menampung bilangan murid yang semakin ramai.    Namun begitu, proses ini telah memakan masa yang agak lama kerana terdapat halangan dan karenah birokrasi yang perlu dihadapi oleh beliau. Hanya pada Januari 1986 barulah sekolah ini dipindahkan ke Kampung Abdullah.

            Pada tahun 1986, sekolah ini telah menerima Sister Agnes Liew sebagai Guru Besar yang baru. Melalui inisiatif beliau, sekolah ini telah berjaya memperoleh peruntukan sebanyak RM 250,000.00 untuk menampung pembinaan bangunan baru yang mengandungi 12 bilik darjah. Pada masa itu, sekolah ini hanya mempunyai dua blok bangunan satu tingkat dan pembelajaran dijalankan dalam dua sesi iaitu pagi dan petang..

            Pada tahun 1987 sehingga bulan Mac, sekolah ini masih lagi menjalankan pembelajaran dalam dua sesi. Bermula pada bulan April 1987, apabila bangunan tambahan itu siap, pembelajaran dapat dijalankan dalam satu sesi iaitu pada sebelah pagi.

Memandangkan sekolah menjalani satu sesi pembelajaran maka keperluan bangunan tambahan amat diperlukan. Justeru, pada tahun 1989, atas usaha Sister Agnes Liew, bangunan untuk perpustakaan dan Bilik Guru yang bernilai RM 66 000.00 telah diperolehi.

         Pada tahun 1990, sekolah ini telah memperoleh kantin baru yang dilengkapi dengan kemudahan kipas.   Pembinaan kantin baru ini bernilai RM 10,000.00. Keadaan ini telah memberikan keselesaan kepada warga sekolah ini. Di samping itu, sebuah gelanggang serbaguna telah dapat disediakan dengan nilai RM 15,000.00 pada awal tahun 1991. Semuanya hasil sumbangan dermawan dan ibu bapa murid-murid sekolah ini.

Pada tahun 1992, sekolah ini telah berjaya menubuhkan Kelab Komputer hasil pungutan walkhaton yang dianjurkan oleh PIBG sekolah ini. Kelab ini dibuka dengan perbelanjaan sebanyak RM 17,500.00 yang mengandungi 10 set komputer dan 3 buah pencetak.

Pada tahun 1993, hasil pungutan derma daripada ibu bapa murid-murid, Sebuah kolam ADM bernilai RM 2,000.00 telah berjaya dibina. Dengan terbina kolam mini ini, keceriaan sekolah semakin terserlah.

Pada tanggal 4 Oktober 1994, Sister Agnes Liew telah meninggal dunia dan tempat beliau telah digantikan dengan Puan Zawiyah binti Harun pada bulan Mac 1995. Hasil inisiatif beliau, sekolah telah menerima sumbangan 20 buah kipas angin yang telah didermakan oleh Encik Tee Kok Tong selaku Yang Dipertua PIBG sekolah pada masa itu.

            Kemudian, pada tahun 1995, UMNO Bahagian Segamat dengan inisiatif Puan Rokiyah binti Abu Bakar yang memangku jawatan Guru Besar telah menyumbangkan 40 buah kerusi kuliah, papan tulis, permaidani dan Surah-surah Yaasin untuk bilik agama sekolah ini.

Setelah Puan Zawiyah mengambil alih tugas Guru Besar, beliau telah berusaha memohon bantuan PIBG untuk mengubah suai bilik Sains, bilik Pemulihan dan bilik Serbaguna yang bernilai RM 5 320.00.

            Pada tahun 1997, Puan Halimah binti A. Hamid telah menggantikan Puan Zawiyah sebagai guru besar sekolah ini. Beliau telah meneruskan sistem pentadbiran sekolah ini dan apabila sekolah ini dilanda ribut sehingga menyebabkan bumbung bangunan dua tingkat iaitu Blok C musnah diterbangkan angin. Beliau bersama-sama pihak PIBG telah berjaya mendapatkan bantuan sebanyak RM 50,000.00 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.


             Pada tahun 2001, Puan Norlis bte A.Rahman telah menggantikan Puan Halimah bte A.Hamid sebagai Guru Besar sekolah ini. Pelbagai inisiatif dan usaha telah dilakukan oleh beliau untuk mengekalkan Sistem Pentadbiran Sekolah ini. Banyak perubahan yang telah dibuat oleh beliau dalam usaha untuk menaikkan nama sekolah dan menceriakan sekolah ini. Antaranya ialah membina pondok Teratak Ilmu yang bertujuan untuk memberi ruang kepada murid-murid mencari dan menambahkan ilmu di tempat itu. Selain itu, kolam ADM juga telah dibaik pulih dan diceriakan. Pihak sekolah juga telah mengubahsuaikan stor Pendidikan Jasmani sebagai pondok pengawal keselamatan. Bagi menceriakan sekolah ini, pelbagai aktiviti gotong-royong telah dijalankan seperti mengecat bangunan sekolah dan menggantikan papan plywood kepada cermin tingkap secara berperingkat-peringkat. Semua ini adalah hasil sumbangan daripada pihak ibu bapa, PIBG dan guru-guru khususnya.

            Mulai tahun 2006, sekolah ini telah menerima Guru Besar baru yang ke-9 iaitu Puan Tey Siew Choo. Beliau telah mengambil inisiatif sendiri mencari wang untuk mengecat pintu sekolah dan membaiki pulih tempat istirahat murid. Beliau mula berkhidmat di sekolah ini pada 16 November 2005.

Selain itu, pihak sekolah juga telah menerima sumbangan daripada  YB Lau Chin Hoon,ADUN Pemanis sebanyak RM 5,000.00 untuk membina dua buah pondok istirahat dan pondok bacaan dan menguruskan projek mengindahkan landskap daripada Jabatan Lanskap Negeri Johor bernilai RM 5,000.00.

Dengan usaha dan kerjasama daripada pihak ibu bapa, maka pada tahun 2006, YB Datuk S.Krishnasamy,ADUN Tenggaroh telah menyalurkan sumbangan sebanyak 38,000.00 untuk menggantikan kantin sekolah yang tidak selamat digunakan, usang dan telah dimakan anai-anai.

Namun begitu, tragedi pada bulan Disember  di mana Bandar Segamat dilanda banjir yang begitu teruk sehingga menempiaskan juga sekolah ini. Banyak keperluan guru dan murid telah musnah akibat banjir. Lantaran itu,  awal persekolahan, murid-murid terpaksa belajar di atas lantai beralaskan tikar getah sementara menunggu bantuan daripada pihak yang berkenaan.


Tragedi yang melanda ini telah memberikan satu sinar kepada warga sekolah ini apabila bantuan demi bantuan diterima dalam bentuk material dan kewangan. Dengan adanya bantuan ini, sekurang-kurangnya meringankan bebanan yang ditanggung oleh pihak sekolah. Pihak sekolah bertuah kerana telah menerima kunjungan daripada sepasukan orang Amerika Syarikat yang datang ke sekolah ini dan memberikan bantuan membaik pulih bangunan dan sumbangan cat untuk mengecat sekolah ini. Bantuan demi bantuan yang diterima daripada pihak persendirian mahupun NGO akhirnya sekolah ini telah Berjaya dibaik pulih. Dengan adanya bantuan ini telah memberikan satu semangat baru kepada warga sekolah ini untuk melahirkan sekolah yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

   Pihak sekolah, PIBG dan sekolah ini juga bersyukur kerana bantuan demi bantuan diberikan terutama daripada YB Encik Lau Chin Hoon sebanyak RM 20,000.00 kepada PIBG untuk membaik pulih pusat sumber sekolah dan pembinaan astaka. Namun begitu, disebabkan kos pembinaan astaka memerlukan perbelanjaan yang besar, maka dengan persetujuan dan perbincangan bersama dengan pihak PIBG, alternatif lain telah diambil dengan membina sebuah lagi pondok bacaan untuk murid-murid sekolah ini. Sumbangan-sumbangan yang diberikan oleh pihak-pihak tertentu memang diperlukan dalam usaha untuk menceriakan kawasan persekitaran sekolah.


“Kalau tidak dapat menjadi pohon cemara di puncak bukit, Jadilah rumput penghias jalan,
Jangan jadi lalang di dalam taman.” 


PROFIL SEKOLAH

KOD SEKOLAH
JBB 7045
NAMA SEKOLAH
SK CANOSSIAN CONVENT
JENIS
SEKOLAH BANTUAN KERAJAAN
TAHUN DITUBUHKAN
1956
LOKASI
BANDAR
BAHASA PENGANTAR
BAHASA MELAYU
BAHASA INGGERIS
GRED SEKOLAH
B
SESI PERSEKOLAHAN
PAGI
JENIS MURID
PEREMPUAN SAHAJA
NO.TELEFON
07-9311253
FAX
079311253
EMEL
skconventsegamat@yahoo.com.my
BIL. MURID
133 ORANG
BIL. GURU
17 ORANG
STAF BUKAN GURU
4 ORANG


 





Tiada ulasan:

Catat Ulasan